Label

Isnin, 8 Ogos 2011

ABCDEFGHIJKLMNOPQRSTVWXYZ...missing U


Sebulan telah berlalu. Seribu satu kenangan telah tercatat dalam kamus hidupku selama berada di penempatan praktikal ini. Bab kata ibuku, zaman yang paling indah adalah di saat kita bergelar pelajar. Walau apapun silap kita, kita masih boleh dimaafkan. Apa jua kekurangan kita, orang akan menganggap kita masih belum matang dan perlu diberi peluang.

Biarpun ini bukanlah kali pertama aku perlu meninggalkan tempat praktikalku, kali ini aku rasakan amat berbeza. Aku sendiri kurang pasti apakah puncanya. Mungkin kerana di sini terlalu banyak perkara yang berlaku. Atau mungkin juga kerana inilah terakhir kalinya aku bergelar pelajar memandangkan selepas ini aku akan bercuti panjang dan kembali lagi ke suatu tempat dan masa yang belum pasti bagi meneruskan perkhidmatan ku sebagai seorang pekerja. Ya, sebagai seorang pekerja. Bermakna zaman pelajar ku telah tamat dan tanggungjawab yang bakal ku terima semakin besar.

“ Erlis, jomlah kita ambil gambar. Semua encik ada kat depan tu,” rakanku Hartini datang sambil memimpin tanganku untuk bersama – sama menghampiri kumpulan pegawai yang sememangnya kami selesakan dengan panggilan encik sebagai tanda hormat.

Menjelang asar, aku dan rakan – rakan telah selesai mengemas kembali bilik rehat kakitangan yang tadinya kami jadikan sebagai ruang untuk majlis perpisahan kami.

“ Adik, nanti korang semua pergi tak kenduri Encik Azmi?,” Encik Ehsan, seorang pembantu tadbir menyapa kami semasa kami berehat – rehat bagi melepaskan penat.
“Kenduri? Kenduri apa encik? Dia nak pergi haji ke? Lambat lagikan musim haji?” rakanku  Asma bersuara menyatakan kemusykilannya.

“ Kahwinlah. Akhirnya bertemu juga jodoh dia. Mungkin dia belum sempat bagitahu. Ni dia kadnya,” Sofea memandangku sambil mengambil kad yang diberikan oleh Encik Ehsan.

Kad yang bewarna silver itu bertukar – tukar tangan hinggalah sampai kepadaku. Bagaikan luruh hatiku. Ya Allah, kenapa aku berperasaan begini? Sepatutnya aku gembira dengan berita baik ini.
Sofea yang berada disebelahku mengenggam erat tanganku. Ku fahami maksud tersirat tindakan Sofea itu lalu mengangguk dan memberikan senyuman kepadanya.

“ Encik, kami dah nak beransur dah ni. Tadi penyelaras kami telefon dan maklumkan kenderaan kolej mungkin datang petangni. InsyaAllah akan datang kita ketemu lagi,” aku memulakan bicara sebelum beredar pulang.

“ Jom kita jumpa semua kakitangan dahulu,” Hartini pula menyambung kata. Kami semua bergerak serentak bertemu dengan setiap kakitangan. Tirai pertemuan kami dan kakitangan di pejabat ini kami labuhkan dengan ucapan penghargaan dan sedikit bingkisan kecil tanda ingatan buat mereka.

********************************************************************************

Setahun berlalu. Diploma yang kumiliki masih gagal untuk ku gunakan bagi menempatkan aku sebagai salah seorang warga Malaysia yang bekerjaya. Mungkin kerana aku tidak pernah memiliki pengalaman pekerjaan. Disebabkan kegagalanku itu, aku dengan rela hati merasmikan diri aku sebagai pekerja di sebuah pasaraya dinegeri kelahiranku ini. Namun demikian, itu tidak bermakna aku telah berputus asa. Tidak cukup dengan menghadiri temuduga terbuka, aku membuat pula permohonan melalui internet, telefon, rakan – rakan, sanak –saudara dan apa juga cara yang aku ketahui.

Pada malam yang hening ini, aku meneruskan lagi usahaku. Biarpun hampir 85% daripada permohonanku telah memberi jawapan, tiada satupun yang menunjukkan tanda – tanda aku diterima.

Buntu dengan keputusan yang ku perolehi, aku cuba menenangkan fikiran dengan membuka laman sosial yang telah hampir setengah tahun aku tinggalkan. Wow, banyaknya pesanan yang aku terima. Satu persatu ku teliti nama penghantarnya. Tiba – tiba aku terlihat pesanan dari sahabat karibku ketika di kolej dulu; Sofea. Lalu ku melakukan double click pada pesanan tersebut.

                “ Assalamualaikum.  Erlis,apa khabar? Begitu lama engkau menyepi tanpa khabar. Sebenarnya mesej yang kuhantar ini mempunyai satu perkara yang amat penting untuk ku sampaikan. Entahlah, saat aku menekan papan kekunci ini, aku rasakan perasaan yang amat bercampur baur. Antara takut, bimbang dan kesedaran terhadap tanggungjawab atas perbuatanku sebelum ini.

Erlis, pasti engkau tertanya – tanya apa perkara yang aku maksudkan sebenarnya bukan? Aku janji akan jelaskan segalanya nanti. Tapi aku mohon pada kau. Tolong bagi respon kepada pesanan akuni. Agar aku pasti yang aku benar – benar menghubungi Erlis Elysa binti Erman.               
                        Sahabatmu : Sofea Safuan           

Aku menekan bebutang kekunci balas bagi menjawab pesanan yang kukira telah dihantar kira – kira 3 bulan yang lalu.

            “ Waalaikumussalam sahabatku. Benarlah. Inilah insan yang kau cari itu. Kenapa sebenarnya? Engkau apa khabar? Cuba ceritakan semampumu. Agar engkau tidak lagi dalam gusar. Oh ya, maafkan aku kerana baru sekarang menjawab pesananmu ini,”

Pesanan ringkas itu ku hantar. Di saat aku ingin keluar dari laman sosial itu tiba – tiba seseorang menegurku dilaman berbual. Rupa – rupanya Sofea. Dia juga sedang keudara.

************************************************************************************

Semingu berlalu. Pertemuan semula dilaman siber bersama Sofea agak memberi kesan kepadaku. Ramai yang menegurku di atas perubahan ini. Paling ketara, aku yang sering mencatat sejarah kerana sukar untuk bercuti walaupun sakit akhirnya memohon cuti tanpa gaji selama seminggu dari bosku pagi tadi.

Hari ini genap seminggu aku tinggalkan makan dan minumku. Bukan diet tapi tekakku terasa kejang untuk menelan sebarang makanan atau minuman. Kepalaku memang sarat dengan memori setahun yang lalu. Dan memori itu jika dulu ku anggap sebagai kenangan terindah tetapi kini kurasakan sebagai kenangan yang paling mengaibkan.

Kali ini buat kesekelian kalinya air mataku menitis lagi. Perbualanku melalui perbualan di laman sosial bersama Sofea kembali jelas terimbau. Satu persatu pengakuan dan penceritaan balik dari Sofea membuatkan aku benci pada kesilapanku kerana jatuh hati pada seorang yang amat mustahil untuk kumiliki. Paling bodoh kerana aku meluahkan isi hatiku itu pada Sofea padahal aku sendiri telah sedar bahawa itu cuma mimpi di siang hari. Sewajarnya aku simpan itu semua dihatiku. Pasti aku tidak akan rasa sepedih dan semalu ini.

Aku kembali hanyut lagi. Hanyut dalam imbauan kenangan yang belum pasti mampu untukku lupakan biarpun setahun telah berlalu

***********************************************************************************

“ Encik Azmi tu baru umur 38 tahun, belum berkahwinpun lagi. Dia beruban dan nampak berusia mungkin kerana masalah kesihatan. Lagipun dia banyak sangat tanggungjawab. Baru sekarang dia ada ruang untuk tumpukan pada diri dia. Selama ini dia cuma fokus pada kerjaya dan jaga emak dia. Dengar cerita emaknya sakit. Jadi dia sanggup bekorban bagi menjamin emaknya terjaga dengan baik,” rakanku Hartini yang memang terkenal dengan kepakaran bergosip  memulakan istirehat petang kami dengan cerita panas yang aku sendiri kurang pasti dari mana sumbernya.

“Engkau ni kalau bab bercerita, yang mustahilpun macam betul. Ni lawak mana pula yang kau celup ni? Dah, jangan nak mengarut,” Sofea menyakat Hartini yang dari tadi menggayakan tangannya sambil bercerita; tak ubah seperti seorang pencerita profesional.

“ Betullah. Puan Ain dan Pak Sudin yang bercerita tadi. Dia usik aku dan Asma ni. Katanya, kalau sesiapa yang dapat Encik Azmi pasti bertuah. Ibarat basuh kaki je nak masuk rumah,” Asma ku lihat terangguk – angguk menandakan dia menyetujui dan membenarkan cerita Hartini.

Aku sekadar tersenyum dan tidak mengambil bahagian dalam menghangatkan lagi gosip tersebut. Tapi sesuatu yang pelik berputik di hatiku. Satu rasa kagum dan rasa ingin lebih mengenali Encik Azmi.

Tapi kenapa aku mesti rasakan perasaan ini? Bukankah aku tidak percaya pada lelaki? Bukankah aku takut memikirkan perasaan yang bakal berputik jika aku mengenali lelaki?

Usah begitu cepat membuat  telahan songsang. Aku bukanlah pecinta kaum sejenis. Aku cuma salah seorang mangsa keadaan yang disekelilingku dipenuhi insan yang kecewa dengan ‘sesuatu’ yang bergelar lelaki.

Kakakku ditinggalkan suaminya disaat sarat mengandungkan anak ke-2. Alasan jantan itu, kakakku gagal memenuhi  tanggungjawab melayan dia sebagai suami? Gagal? Lalu apakah perut kakakku yang memboyot buat kali ke – 2 hasil dari perkahwinan mereka itu sekadar satu eksperimen yang gagal? Adakah jawatan, rumah besar dan kejayaan yang dia kecapi hasil pertolongan kakakku itu satu kegagalan buatnya?

Sepupuku pula pernah menjadi tajuk hangat di akhbar tempatan apabila dia disimbah asid oleh bekas kekasihnya disebabkan sepupuku itu menerima pinangan lain. Padahal pinangan itu diterima setelah bekas kekasihnya itu meninggalkannya dengan hinaan dan berasmaradana bersama rakan serumah sepupuku. Tidak cukup dengan itu, dia memukul sepupuku dan merampas semua barang kemas sepupuku.  Akhirnya sepupuku yang malang itu hingga hari ini menerima kecacatan yang kekal dan  masih menanti insan yang bakal menyuntingnya bukan kerana paras rupa.

Ibuku pula seorang usahawan berjaya. Memiliki ramai teman lelaki yang aku sendiri tidak mampu ingati. Mujur sahaja ibuku itu masih menjaga batas pergaulan. Biarpun ramai teman, ibu kulihat tidak pernah berlebih – lebihan. Dia juga selalu menjelaskan kepadaku bahawa semua itu adalah strategi bagi memastikan perusahaannya terus berkembang. Entahlah, aku sendiri kurang arif untuk menjelaskan secara terperinci. Sebagai anak aku cuma mampu berdoa agar ibuku tidak tersasar.

Di dada – dada akhbar pula setiap hari dibangkitkan berkaitan isu penceraian. Tidak kira bangsa, darjat mahupun usia. Malah ada yang berkahwin tidak sampai seminggu. Jadi apakah sebenarnya erti perkahwinan? Apa erti sebenar sayang yang mereka canangkan sebelum perkahwinan? Apa nilai cinta yang sebenarnya sehingga kekejaman yang aku lihat melebihi kebaikan?

Aku kira biarpun ini sekadar 5 % dari faktor yang menyebabkan aku menjauhi lelaki, aku yakin itu cukup membuatkan sesiapa sahaja turut bersetuju denganku.

*************************************************************************************

Hari berganti hari. Tanpa aku sedari aku mula meneliti setiap inci pelakuan Encik Azmi. Kagum. Mungkin itu perkataan yang paling tepat buat aku tafsirkan perasaanku ketika ini terhadapnya. Lelaki yang berusia lewat 30-an itu tidaklah memiliki rupa yang begitu menarik. Ketenangan wajahnya dan keperibadiannya yang sopan tetapi tegas membuatkan sesiapa sahaja menghormatinya dan  berasa  senang jika berurusan dengannya.

Biarpun aku sering memerhatikannya aku masih selamat kerana aku yakin dia tidak menyedarinya. Perkara yang menyebabkan aku yakin adalah kerana dia tidak pernah menyebut namaku sepanjang aku praktikal di pejabatnya itu. Malah aku rasakan tidak mustahil dia tidak menyedari kehadiranku.

Namun amat berbeza bagi sahabat karibku si Sofea. Dalam diam rupanya dia menghidu tabiatku yang memerhatikan Encik Azmi. Setelah hampir seminggu aku sedemikian, Sofea memberanikan diri bertanyakan kepastian kepadaku. Sebagai sahabat, aku mempercayai Sofea. Aku ceritakan segalanya yang terkandung di hatiku.

Sofea amat teruja setiap kali aku bercerita perihal perasaan harianku berkaitan Encik Azmi. Katanya dia senang melihat aku setiap hari bersemangat untuk bekerja. Katanya juga, penangan Encik Azmi yang positif ini amat wajar untuk diteruskan agar aku terus ceria dan optimistik. Sofea memang bijak jika menyusun kata. Mungkin itulah sebabnya aku yang pendiam ini dapat kekal bersahabat dengan Sofea sejak tahun pertama pengajian lagi.

Aku terus menjadi pemerhati sepi sehinggalah minggu akhir sebulan penempatanku di situ. Bohonglah jika aku katakan aku tidak berharap dia menegurku atau setidaknya menyatakan bahawa dia tahu aku wujud disini. Hinggalah pada suatu hari sesuatu yang amat kunantikan berlaku.

“Elysa, dah hampir sebulan awak di sini. Apa pandangan awak? Apa yang awak dah belajar di sini?” adakah aku bermimpi? Dia panggil nama aku? Elysa? Tidak mungkin. Nama itu bukan semua orang mengetahui nama penuhku itu. Bukankah dia tidak pernahpun menyedari kehadiranku?

Aku masih terdiam. Buat pertama kalinya aku bertentangan mata dengan seorang lelaki dan jiwaku amat bergetar. Jantungku berdegup kencang. Lidahku kelu. Tanpa aku sedari air mataku mengalir. Aku menangis? Tapi aku tidak sedih. Apa sebenarnya perasaanku ini?

Akhirnya aku tewas. Pandangan mataku beralih pada hamparan kertas dimejaku. Aku sekadar senyum dan menjawab seringkas – ringkasnya.

Itulah pertama dan terakhir perbualanku dengannya. Dan itu aku yakin bakal menjadi kenangan yang terkubur sepi sebaik sahaja hari terakhirku disitu. Aku dan rakan – rakan dihadiahkan dengan sekeping kad jemputan perkahwinan sebelum kami kembali ke kolej.

Biarpun kecewa yang amat menebal, aku yakinkan juga diriku bahawa ini pasti ada hikmahnya. Dan akan aku kunci pintu hatiku kali ini serapat – rapatnya. Biar udara juga tidak mampu menyelit masuk.

*************************************************************************************

Peristiwa setahun yang lalu itu terus lenyap dari khayalanku tatkala ketukan yang bertalu – talu datang dari pintu bilikku. Kedengaran suara kakakku yang memanggilku untuk makan beramai – ramai.
Perlahan – lahan aku menghampiri pintu dan membukanya. Ku berikan sebuah senyuman buat kakakku. Lantas aku menolak ajakkannya secara baik. Dia akur dan berjalan pergi meninggalkan aku meneruskan menunganku.

Aku perlahan – lahan menuju ke meja komputerku. Ku melihat sejarah perbualanku dengan Sofea minggu lalu. Perlahan – lahan air mataku mengalir lagi. Semakin laju dan terus laju. Mahu sahaja aku putuskan diriku dari alam manusia ini. Terlalu malu rasanya diri ini.


*************************************************************************************

SOFEA   :Erlis, kalau aku cakap kan sesuatu, boleh kau janji kau akan maafkan aku?
MINE     :Lain macam je bunyinye. Kenapa ni? Cuba kau ceritakan dulu
SOFEA   : Erlis, kau tahukan aku sayang kau. Kalau kau sedih aku merana, kalau kau gembira aku bahagia.
MINE     :Kenapa kau tiba – tiba puitis sangat ni? Ok, aku janji aku akan maafkan kau ok? Tapi kau nak      kau cerita betul – betul
SOFEA   : Lis, aku dah tikam kau dari belakang. Aku dah jadi kawan paling jahat kat dunia ni.
                Maafkan aku Lis. Maafkan aku.
MINE     : Apa yang kau repekkan ni? Cuba kau cerita elok –elok, aku tak faham.
                Bila kau tikam aku? Kau sakitkan hati akupun kau tak pernah.
SOFEA   :Kau ingat tak Encik Azmi?

…sepi hampir 30 minit berlalu. Apa sewajarnya aku katakana? Kenapa mesti berkaitan dia?

SOFEA   : Erlis? Kau ingat tak?
MINE     :Ya, aku masih ingat. Sofea, yang lepas biarlah berlalu. Kita doakan kebahgiaan dia ok?
SOFEA   : Babe, tolong dengar dulu. Aku tahu kau pedih bila kau sebut pasal dia. Tapi aku dah tak               sanggup hidup dalam sengsara kerana terpaksa simpan berkaitan hal ini.
MINE     : Apa maksud kau ni? Aku tak faham. Takkan kau isteri Encik Azmi? Kau bukan kan?
SOFEA   : Ish ke situ pula dia. Bukanlah. Lis, kau ingat tak yang aku tanya kau. Adakah kau akan terima      kalau encik Azmi betul – betul pinang kau. Ingat?
MINE     : Ea, aku masih ingat. Sebab itulah soalan paling bodoh pernah aku jawab dan dari situlah angan                – angan paling mustahil pernah aku ciptakan. Sampai aku sendiri akhirnya merana.
SOFEA   : Lis, sebenarnya aku bertanya kerana aku benar – benar mahu tolong kau. Aku nak sangat          tengok kau bahagia. Aku…
MINE     : Sofea, jangan cakap yang kau dah cuba malukan aku. Apa yang kau buat sebenarnya masatu?
SOFEA   : Aku berikan alamat dan nombor telefon kau kepada encik Azmi. aku cuba perkenalkan engkau               kepada dia. Bukan sebagai seorang pelajar tetapi sebagai seorang gadis yang amat sesuai untuk        disunting menjadi permaisuri hidup.

…aku menyepi. Perlahan – lahan air mata membasahi pipiku. Tanganku lemah longlai.

SOFEA   : Erlis, demi Allah niat aku baik. Encik Azmi juga ku jangka memunyai perasaan yang sama             dengan kau. Malah dia mengatakan sesuatu buatku yang membuatkan aku orang paling terkejut     semasa menerima kad undangan perkahwinannya.

….masih sepi. Aku amat buntu.

SOFEA   : Dia katakan bahawa dia menyedari keistimewaan pada dirimu sahabatku. Tapi dia         menyambung lagi dengan menyatakan, jika benar kamu yang terbaik buat dia, pasti kamu akan      tetap milik dia. Demi Allah Erlis, aku tidak mereka – reka cerita.
MINE     : Sofea, terima kasih sahabat. Cukuplah disini cerita itu. Aku redha dengan segala ketentuanNya.              Biar apapun berlaku, aku mahu kau tahu kau tetap sahabatku dunia akhirat.

*************************************************************************************

Hari –hari mendungku telah berlalu. Pagi tadi aku menerima dua berita penting. Pertama aku telah mendapat pekerjaan yang setaraf dengan kelayakkanku. Perkara ke – 2, aku bakal bekerja bersama – sama Sofea. Secara kebetulan, syarikat yang bakal kami berkhidmat ini merupakan syarikat yang sama dengan tempat terakhir penempatan kami semasa pengajian dahulu. Cuma bezanya ini merupkan cawangan terbarunya.
Masa terus berputar, aku makin dapat menyesuaikan diri dengan pekerjaanku. Hubunganku dengan Sofea makin akrab. Benarlah kata orang. Salah faham itu boleh mengukuhkan dua hati jika diselesaikan dengan cara yang betul.

*************************************************************************************

“ Waalaikumussalam. Hujung mingguni? Penting sangat ke ibu? Baiklah,” talian diputuskan. Sofea yang dari tadi sekadar mendengar perbualanku mul menunjukkan wajahnya yang ala - ala rombongan kak Kiah yang tak menyabor – nyabor.

“Jom ikut aku balik kampung hujung mingguni. Ops, kau jangan tanya banyak. Aku sendiripun cuma tahu yang kau perlu balik kampung hujung minggu ni.” Aku menyatakan jawapan dan memberi penyataan bagi memastikan kepalaku yang sedang kusut ini tidak di bebankan lagi dengan persoalan yang bertubi – tubi dari Sofea.
Sofea sekadar diam dan menyetuji permintaanku.

************************************************************************************
“Babe, kau serius ke nak terima pinangantu? Kau tak takut…”belum sempat anak dara tua ni; Sofea, menokok tambahkan persoalannya yang berbelit – belit aku mengambil sepotong kek lalu kusumbatkan ke mulut yang berbibir mungil ala – ala Angelena Jolien  itu.

“ Esok kau jadi pengapit aku. Siapa tahu, kot – kot nanti pasni kau pula yang disunting,” aku bersuara sebaik sahaja dia terdiam kerana mulut yang dipenuhi kek tadi.

Dalam diam aku sebenarnya takut. Takut sakit dikecewakan lagi. Tapi disebalik kebimbangan itu aku yakin. Malah amat yakin. Yakin bahawa ini semua ketentuanNya. Jika Dia yang menarik rasa kasih ku pada lelaki, lalu mengujiku dengan rasa kasih pada encik Azmi lalu dia bagi pula aku kekuatan menghadapi luka kekecewaan, pasti dia lebih – lebih lagi mampu untuk mengurniakan pasangan yang terbaik buatku.
Malah hatiku sebenarnya telah dapat mengagak hal ini yang ingin ibuku sampaikan semasa dia menghubungiku sebelum ini.

Semalam, semalaman aku bermunajad agar diberi keyakinan dan kekuatan untuk memastikan keputusan dan tindakan yang bakal aku lakukan adalah yang terbaik buatku, agamaku dan insan – insan sekelilingku, di dunia dan akhirat. Aku juga berdoa agar apa jua ujian yang bakal aku hadapi kalini bakal aku tempuhi dengan tabah dan redha.

************************************************************************************
Sebulan sahaja lagi aku bakal bergelar seorang isteri. Biarpun aku tidak mengenali siapakah sebenarnya bakal suamiku ini, kami sering berhubung melalui laman sosial di alam siber. Bukan kerana tidak teringin untuk ketemu atau berkenal lanjut tetapi dia kini sedang menyambung pengajian dalam saujana pentadbiran di luar negara. Hasil tajaan syarikat, akhirnya di usia 40 tahun barulah berkesempatan menyambung cita – citanya. Itulah kata – katanya ketika bercerita tentang dirinya padaku.

Entah kenapa, setiap kali berbicara dengannya, aku membayangkan saat aku bersama encik Azmi.  Jika perbualan yang menggembirakan, aku bayangkan wajah encik Azmi yang tersenyum girang. Ya Allah, kenapa begini jadinya aku? Berdosanya aku kepada dia. Maafkan aku.

Tapi, tidak adil jika aku dipersalahkan sebelum difahami situasi yang menyebabkan aku berfikir begini. Tunanganku ini juga bernama Azmi dan berusia 40 tahun. Bermakna dia sebaya dengan encik Azmi. Bekerja dalam bidang pentadbiran dibawah syarikat yang sama denganku. Cuma dia sekarang sedang menyambung pengajian. Jadi aku kurang pasti di cawangan mana dia bertugas. Satu –satunya perbezaan dia dan encik Azmi, dia belum pernah berkahwin manakala encik Azmi menamatkan zaman bujangnya 2 tahun yang lalu.

*************************************************************************************

Sebulan berlalu, sebulan juga aku menerima kiriman email dari tunangku. Perkara yang menarik berkaitan email kami, si dia telah namakan topik email kami dengan suatu deretan abjad yang amat bermakna buatku ABCDEFGHIJKLMNOPQRSTVWXYZ.

Pada awalnya aku sekadar menyangka itu tiada bermakna. Namun kini, setelah seminggu dia terpaksa berhenti menghubungiku buat sementara waktu, membuatkanku semakin banyak masa untuk menyemak kembali email –emailnya. Indah, cukup indah layanannya kepadaku. Amat bahagia kurasakan.
Suatu hari, aku tiba – tiba perasankan sesuatu pada nama topik email kami. Sebaik sahaja menyedari hal itu, aku terus mengirimkan email rakaman suaraku padanya.

“ i feel missing you too my dear,” buat pertama kalinya aku mengucapkan kata – kata itu buat seorang lelaki.
Beberapa bulan berlalu, tunanganku itu tamat pengajiannya dan kembali ke Malaysia. Kini email telah diiringi dengan kiriman hadiah dan bunga setiap pagi. Masih menggunakan trade mark ABCDEFGHIJKLMNOPQRSTVWXYZ. Namun wajah dan dirinya belum lagi kukenali.

Hari ini aku dihadiahkan dengan sebotol wangian dan sejambak mawar. Disebalik jambangan mawar terselit sepucuk surat. Rupa – rupanya segala persiapan hantaran dan pengurusan majlis dirumahku telahpun diselesaikan olehnya.
Segera ku mencapai telefonku sebaik sahaj selesai membaca surat ringkas dari tunangku itu.
“ Assalamualaikum, ibu. Ibu, berkaitan persiapan perkahwinan Erlis yang kita bincangkan tu, Erlis rasa tak jadilah..” aku menerangkan satu persatu pengkhabaran yang baru kuterima dari Azmi kepada ibu. Ibu menerima dengan hati terbuka.

Aku sebenarnya masih lagi terkejut kerana tidak menyangka ibuku tidak kisah apabila mengetahui insan yang bakal mengahwini ku itu berusia hampir sebaya dengannya. Kata ibu, hatinya mengatakan itu adalah yang terbaik buatku. Sebagai anak aku turuti apa jua keputusan ibu. Tambahan pula, aku fikir jika aku sendiri mencari, berpuluh tahun lagipun aku belum pasti aku mampu ketemu.

***********************************************************************************

Dari email kini bertukar kepada pesanan ringkas di telefon.  2 bulan sahaja lagi aku dan Azmi akan sah menjadi pasangan suami isteri. Biarpun boleh dikatakan setiap 30 minit kami berhubung, tidak pernah terbit rasa jemu di hatiku. Adakah ini dinamakan cinta? Semakin hari aku semakin tidak sabar menanti hari perkahwinanku.

Hari ini dia meminta izin untuk menghubungiku. Katanya tidak puas mendengar rakaman suaraku haritu. Aduh, malunya. Macam manalah agaknya suaraku ketika itu. Aku masih belum memberi jawapan. Malu sebenarnya, tetapi jujurnya aku juga teringin untuk mendengar suaranya.

Bayu malam meniup dingin melalui celah – celah pepohon yang berderetan didepan rumahku. Terasa nyaman apabila ia menyentuh lembut pipiku. Tiba – tiba telefon yan berada di meja hadapanku berdering. Ku biarkan buat seketika. Masih mempertimbangkan antara dua pilihan. Deringan itu sepi tanpa berjawab. 15 minit berlalu, ia berdering lagi. Aku masih sepi. Sekadar memandang. Terbit pula rasa kasihan di hatiku terhadapnya. Tidak mengapa, jika aku menjawab tetapi diam membisu, itu juga tiada makna.

Hampir sejam aku berada diluar rumah sehinggalah ibu bising menyatakan tidak elok lama – lama berembun begitu. Jam menunjukkan pukul 11.30 malam. Mataku belum lagi mampu dipejam. Secara tiba – tiba kenangan bersama Encik Azmi kembali di ingatanku.

*************************************************************************************

“ Encik, yang ni perlu buat macam mana ea?” aku membawa sehelai kertas yang mengandungi data – data berkaitan perkembangan mingguan syarikat. Aku ditugaskan untuk menyatukannya menjadi bulanan dan menyediakan laporan ringkas berkaitannya.

Encik Azmi yang tadinya sedang mengadap komputer berpaling padaku. Dia melihat kertas yang ku hulurkan buat seketika. Kemudian dia mengalihkan pandangannya kepadaku. Tanpa disengajakan mata kami bertentangan. Aku cuba mengalihkan pandanganku. Lantas Encik Azmi bersuara memberikan penerangan kepadaku.

Menjadi kebiasaanku untuk melihat wajah orang yang mengajarku kerana dengan cara itu aku lebih memahami perkara yang ingin disampaikan itu. Namun kali ini aku benar – benar tidak mampu melihatnya. Debaran yang amat kencang dihatiku terasa.

Akibat daripada itu, aku tidak dapat memahami apa yang diajarkan oleh dia. Maka terpaksalah aku bertanyakan perkara yang sama kepada pegawai yang lain. Mujurlah aku berjaya juga melakukan tugasan aku itu dengan sempurna.

Minggu ini merupakan minggu yang agak sibuk kerana syarikat bakal dilawati oleh bahagian kawalan kualiti. Kami selaku pelajar diberi tugasan membantu mana – mana pegawai menyiapkan laporan dan menghias jabatan. Tiba – tiba pula kami menjadi pereka dalaman. Namun gembira dan amat berpuas hati kerana hasil kerja kami mendapat pujian dan mereka membawa kami menikmati jamuan makan malam di sebuah hotel berhampiran syarikat tanda penghargaan buat kami. Tambahan hanya beberapa hari sahaja lagi kami akan tamat tempoh praktikal kami di sini.

Malam itu semua warga jabatan kami berpakain penuh indah. Encik Azmi kelihatan agak kacak dengan pakaian kasualnya kemas dan ringkas. Warna hijau lembutnya sedondong denganku membuatkan kami diusik dan dipadan - padankan berdua. Biarpun aku agak malu, tetapi dalam diam aku sebenarnya gembira diusik begitu. Alangkah indahnya jika ia adalah benar.

Encik Azmi pula seperti menjauhiku selepas peristiwa tersebut. Layanannya kepadaku semaki hari semakin dingin. Seingatku,  tiada silap yang aku lakukan padanya. Malah, tidak pernah aku lupa menyempurnakan tugasannya padaku.

Akhirnya, aku mengambil keputusan menghapuskan fikiran berkaitan perubahan Encik Azmi itu. Biarpun hatiku masih mempunyai tempat buatnya, sekurang – kurangnya aku tidak lagi raa tertekan jikapun bertembung dengannya. Aku masih terus senyum padanya walaupun aku tahu, senyuman itu tidak akan terbalas.

Lalu tibalah pula kepada hari terakhir aku di sini. Hari yang membuatkan aku tahu bahaw aku perlu berhenti bermimpi. Iaitu hari aku menerima undangan perkahwinannya. Hari dimana pertama kalinya dia memanggilku dengan panggilan Elysa.

*************************************************************************************

Lamunanku terhenti apabila telefon berdering lagi. Aku terus menekan butang kekunci jawab tanpa melihat nama pemanggil.

“Assalamualaikum, Elysa apa khabar? Maaf meganggu. Terlalu lama saya menunggu jawapan daripada Elysa,” terdengar suara garau dari talian.

Aku tergamam. Menitis air mataku tanpa dapatku kawal. Suara ini. Suara yang benar – benar aku rindui. Ya Allah, kenapa begitu banyak persamaan mereka?

“ Waalaikumussalam. Sihat. Ya, saya dah nak tidur ni. Boleh saya minta sesuatu?,” aku menjawab dengan suara yang bergetar menahan tangis.

“ InsyaAllah jika saya mampu penuhi,” dia menjawab ringkas dan menanti aku menyambung kata.

“ Biarlah kita sekadar berhubung melalui SMS dan email sahaja. Kita sama – sama simpan suara kita untuk berbual setelah kita disatukan nanti. Boleh?” sepi sahaja dihujung talian itu. Tiada jawapan ku terima walaupun beberapa ketika berlalu.

“ Baiklah. Selamat malam Elysa,” talian diputuskan.

Aku masih membisu. Terlalu banyak kejutan ku terima hari ini. Tapi aku paling terkejut dengan suara tunangku tadi. Hati, kenapa engkau begini? Kenapa engkau masih mengingtai orang yang tidak langsung meletakkan engkau di matanya, apatah lagi di hatinya.

Tiba – tiba aku menerima sebuah SMS darinya.
            “Elysa, cuba cari dan dengar lagu ini. Fahami dan mengertilah isinya.
            DeHearty_Permata  Yang Di cari…
            Itulah dirimu buatku…
            ABCDEFGHIJKLMNOPQRSTVWXYZ

*************************************************************************************

Hari yang dinanti – nanti tiba juga akhirnya. Aku selamat diijab kabulkan dengan Azmi dengan belanja RM 10 000. Aku meminta sekadar RM 8 000 namun Azmi nekad mahu menambahkan lagi bagi menggenapkan kepada RM 2 000. Katanya tanda terima kasihnya buatku yang sudi menerimanya.

Akhirnya aku akur. Alhamdulillah majlis penuhmeriah dan ringkas itu berjalan dengan lancar. Sofea selaku pengapitku pula tidak jemu – jemu berada disisiku memberi kata – kata semangat.

“Erlis, tahniah. Aku nak bagitau berita gembirani,” aku hairan memandang Sofea yang sedang tersengih di sisiku.

“ Engkau dan suami kauletak nama anak kau dengan nama aku tanda jasa aku dekat korang,” Sofea menyambung kata – katanya lalu mengisyaratkan aku untuk melihat suamiku yang duduk di depanku untuk menyarungkan cicin.

Bagaikan aku berada di dalam mimpi. Insan yang baharu sahaja sah menjadi suamiku adalah encik Azmi. Ya, benar. Encik Azmi yang menjadi insan pertama membuka pintu hatiku. Encik Azmi yang menyebabkan aku sasau dan hilang arah. Satu –satunya encik Azmi yang aku mimpikan siang dan malamku. Ya Allah, begini rupanya engkau satukan aku dengannya.

“Encik Azmi? Tapi macam mana? Kenapa,” aku bertanya kepada suamiku itu. Dia sekadar tersenyum dan menghadiahkan kucupan keahiku sebaik sahaja cicin pengikat kasih kami selamat disarungkan.
“Kerana Elysa yang terbaik buat saya. Inilah yang tertulis dariNya,” suamiku menyambung katanya lagi sambil menyapu linangan air mata di pipiku.


*************************************************************************************

Hampir sebulan usia anak kami; Sofea Ami Elyna. Gelaran encik Azmi telah lama tersimpan dalam diari hatiku. Kini panggilan itu telah bertukar menjadi abang. Gembira hati ini hanya Allah yang tahu.

“ Sayang, terima kasih kerana tetap simpan hati sayang buat abang,” sebuah kucupan dihadiahkan buatku.

Teringatku pada peristiwa setahun lalu. Selesai majlis perkahwinan kami, Abang Azmi menjelaskan segala – galanya buatku. Rupa – rupanya perkahwinan dia dulu tidak pernah berlaku. Perkahwinan itu ditetapkan oleh keluarganya tanpa kerelaan. Paling menggembirakanku, perasaanku padanya dahulu sebenarnya turut dirasai olehnya.

Tindakan dia yang dingin padaku secara tiba – tiba itu pula kerana dia tidak mahu aku kecewa jika terus berharap padanya.Ketika itu dia tidak mempunyai kekuatan untuk menolak perkahwinan yang dirancang itu. Ibunya yang terlalu berharap melihat dia berumahtangga menyebabkan dia melupakan hasrat hatinya dan sekadar menurut.

Allah menentukan segalanya. Seminggu sebelum perkahwinan mereka, wanita yang bakal dikahwininya menghilang tanpa khabar berita. Rupa – rupanya keluarga wanita itu telah merancang semua itu kerana mahu menjodohkan anaknya dengan seorang lelaki yang lebih berada dan berpangkat datuk.

Pemergian suamiku ke luar negara untuk menyambung pengajian juga sebenarnya atas ihsan ketua jabatannya yang bersimpati dengan musibah yang menimpanya. Rakan – rakan syarikat yang mengetahui ujian yang menimpa suamiku ketika itu juga tidak pernah jemu memberi semangat. Aku kagum dengan semangat persahabatan mereka.

Alamat dan nombor telefon yang diberikan oleh Sofea merupakan pencetus kepada perkahwinan kami ini. Rupanya nombor dan alamat itu telah suamiku simpan sebaiknya. Namun hasratnya ketika itu terkubur sepi apabila pada malam jamuan di hotel itu dia mendapat maklumat dari ibunya bahawa hari pertunangan dan perkahwinannya telah ditetapkan dan kad undangan telah disiapkan.

Kesimpulannya telahan Sofea bahawa suamiku ini berminat dengan pemberiannya itu adalah benar. Cuma disebabkan dia lambat bertindak, jalan yang mudah terhijab seketika dan terpaksa mengambil jalan yang amat rumit.

Biarpun ujian yang dihadapi suamiku itu bukanlah perkara biasa, dia tetap tersenyum dan gembira ketika menceritakannya kepadaku. Katanya, dahulu dia rasakan dialah orang paling malang. Tetapi kini, dia rasakan dialah orang yang paling bertuah. Begitu indah perjalanan hidup yang Allah rencanakan buatnya.

Sofea pula kini sedang sibuk melakukan persiapan perkahwinannya dengan seorang lelaki yang sama – sama bekerja di syarikat kami. Biarpun aku belum berkesempatan menemaninya melakukan persiapan,, dia tidak pernah mengeluh. Malah dia tidak pernah lupa datang menjengukku.

Rakan – rakanku yang sama – sama praktikal denganku dahulu; Hartini dan Asma pula kini bertugas di utara tanah air. Mereka agak terperanjat apabila mengetahui siapa gerangan suamiku.

Suamiku, dirimu amat berharga buatku. Kini telah lengkap setiap abjad dalam hidupku. Telah mampu ku nyanyikan ABCDEFGHIJKLMNOPQRSTUVWXYZ  tanpa perlu ragu dan pilu lagi.

Buat  insan – insan yang masih mencari di manakah huruf U mereka, usahlah berputus asa. Mungkin ia sebenarnya telah dihadapanmu cuma belum tiba masanya untuk dirimu memilikinya. Sabarlah. Teruslah menanti dan simpanlah hatimu hanya buatnya. Insan yang benar –benar berhak memiliki sekeping hati yang ikhlas dan tulus.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan